
SIBU: Majlis Kanak-Kanak Sibu buat julung kalinya menganjurkan Klinik Memanah dan Pickleball bagi memberi pendedahan awal kepada kedua-dua sukan tersebut serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan ahlinya.
Pengerusi Pasukan Petugas Majlis Kanak-Kanak Sibu, Kaunselor Kiing Teck Ho berkata, program ini bertujuan memberikan pengalaman sukan secara langsung kepada peserta selain memupuk semangat kesukanan dan kesejahteraan dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.
“Sukan memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian kanak-kanak dan remaja dengan mengajar mereka kemahiran hidup seperti ketekunan, kerjasama dan keyakinan diri.
“Matlamat kami adalah untuk memberikan akses kepada aktiviti sukan yang menyeronokkan dan bermanfaat agar mereka dapat menemui minat serta mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya kepada pemberita, semalam.
Menurutnya, klinik ini menampilkan jurulatih bertauliah bagi membimbing peserta mempelajari asas memanah dan pickleball, dua sukan yang mampu meningkatkan daya fokus, kesihatan kardiovaskular serta semangat berpasukan.
“Kedua-dua sukan ini direka untuk semua peringkat kemahiran bagi memastikan setiap peserta dapat menikmati pengalaman yang menyeronokkan,” katanya.
Beliau berharap program seumpama ini dapat memupuk minat terhadap sukan dalam kalangan generasi muda serta membentuk budaya hidup sihat dan penglibatan aktif dalam komuniti.
“Kami teruja melihat semangat dan minat ahli dalam menerokai dunia memanah dan pickleball.
“Klinik ini diharap memberi inspirasi kepada mereka untuk terus aktif dalam sukan dan menjadi ahli komuniti yang sihat serta dinamik,” katanya.
Oleh Tarani Lanting