SAMARAHAN: Majikan perlu memberi ruang dan peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapatkan pekerjaan berdasarkan keupayaan yang dimiliki mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, cabaran utama golongan OKU hari ini ialah mendapatkan pekerjaan, disebabkan ramai majikan yang kurang yakin terhadap keupayaan mereka menjalankan tugas.
“Masih terdapat majikan yang ragu-ragu untuk mengambil golongan OKU sebagai pekerja di tempat mereka.
“Oleh itu, masih perlu ada kerja-kerja advokasi untuk menyedarkan orang awam bahawa golongan OKU memiliki keupayaan tersendiri, dan bukan hanya melihat kekurangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Hari OKU Sarawak 2024 yang berlangsung di Pusat Pemulihan Samarahan di sini, hari ini.
Tambah Fatimah, dasar Kerajaan Persekutuan juga telah menetapkan peratusan bagi semua agensi kerajaan untuk mengambil golongan OKU bekerja.
“Kita mahu golongan OKU diambil bekerja mengikut keupayaan mereka.
“Ini kerana ada di antara mereka yang tidak mempunyai sebarang masalah, contohnya yang hanya mengalami kecacatan fizikal,” katanya.
Pada majlis sama, Fatimah turut menyampaikan sijil graduasi kepada 15 pelatih OKU yang berjaya menamatkan latihan mereka di Pusat Pemulihan Samarahan.
Daripada jumlah tersebut, tiga orang pelatih merupakan lepasan jurusan elektronik, dua pelatih dari jurusan jahitan, manakala 10 lagi pelatih adalah lepasan jurusan komputer.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Semawi Mohamad.
Oleh Mohd Neenatul Aizal