IMPAK langsung ke atas Asia Pasifik dari segi pengurangan perdagangan dengan Rusia dijangka kekal kecil.
KUALA LUMPUR: Impak langsung ke atas Asia Pasifik dari segi pengurangan perdagangan dengan Rusia dijangka kekal kecil sekiranya perdagangan dengan negara itu menjadi sukar apabila sekatan dipertingkatkan lagi, demikian menurut Moody Analytics.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun Rusia mempunyai kehadiran fizikal yang besar di rantau ini, ia bukan rakan dagangan utama dengan negara-negara Asia Pasifik.
“Pergantungan eksport kepada Rusia adalah kecil dan dengan beberapa pengecualian, pergantungan itu tidak meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam komentar bertajuk “APAC’s direct trade with Russia” (perdagangan langsung APAC dengan Rusia) yang dikeluarkan pada 25 Februari.
Ia berkata, eksport ke Rusia menyumbang tidak lebih daripada satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan mana-mana negara utama di rantau Asia Pasifik.
Bagi import, Moody’s berkata, tidak ada ekonomi Asia Pasifik yang terlalu bergantung kepada import dari negara itu, yang mana ia kurang satu peratus daripada KDNK nominal bagi mana-mana negara utama Asia Pasifik.
“Kemeruapan terbesar daripada nilai import dari Rusia adalah di Singapura yang mana petroleum ditapis — dengan harga turun naiknya — menyumbang kepada kira-kira 75 peratus daripada import dari Rusia. Dan import Singapura dari Rusia tidak pernah melebihi dua peratus daripada semua importnya,” katanya.
Moody’s berkata, walaupun impak langsung pengurangan perdagangan adalah kecil bagi Asia Pasifik, kesan tidak langsung inflasi harga tenaga global yang berlarutan lebih lama, disebabkan oleh premium risiko ke atas produk tenaga ditapis dan mentah, akan memberi kesan kepada ekonomi rantau ini.
“Dan ia terutamanya akan dirasai menerusi kos input tinggi bagi pengeluaran makanan, yang menyumbang sebahagian besar daripada belanjawan isi rumah di rantau ini berbanding Eropah atau Amerika Utara,” katanya. – Bernama