MIRI: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak semua kaum bumiputera yang sah ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak juga sentiasa mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR bagi memastikan pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan, persempadan yang jelas dan tidak akan diceroboh oleh pihak lain.
“Asalkan ia cukup bukti, sahih dan mengikut perundangan bahawa ini adalah kawasan tanah NCR mereka dan mereka membuktikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat HakMilik Tanah Seksyen 18 Bagi Kawasan Beraya yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Sehubungan itu, katanya kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada tahun 2010 yang dilaksanakan secara dua peringkat.
“Peringkat pertama,pengukuran perimeter dan pewartaan dibawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).
“Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah dibawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri akan dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan tanah NCR yang diluluskan dan sesi dialog diadakan dengan penuntut-penuntut tanah NCR yang berkaitan sebelum aktiviti pengukuran bermula.
“Ianya bertujuan untuk memberi penerangan dan mendapat maklum balas sebelum kerja pengukuran sebenar di lapangan dijalankan.
“Pengukuran hanya dijalankan setelah mendapat persetujuan dan sokongan penuntut tanah yang terlibat. Jika mereka tidak mahu tanah mereka diukur perimeter, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan para penerima surat hak milik tanah agar menggunakan tanah mereka dengan sebaik-baiknya.
“Jangan jual tanah tersebut tetapi memanfaatkannya dengan aktiviti berfaedah yang boleh mendatangkan sumber pendapatan,” ujarnya.
Surat hak milik tanah itu diserahkan kepada seramai 183 penduduk Kampung Beraya membabitkan kawasan seluasa 227.3 hektar.
Turut hadir Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat, Residen Miri, Abdul Aziz Yusuf, wakil Pengarah JTS, Unus Tambi dan Penguasa JTS Bahagian Miri, Anthony Aboi.
Oleh LIONG CHAI LING