Bengkel BIM tingkat kecekapan penyampaian projek JKR Sarawak

Facebook
WhatsApp
GAMBAR KENANGAN... Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris bergambar kenangan bersama peserta Bengkel Latihan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) anjuran JKR Sarawak dengan kerjasama Revizto dan BIMAGE. Foto JKR

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terus memperkukuh agenda pendigitalan dalam penyampaian projek menerusi penganjuran Bengkel Latihan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang dikendalikan oleh Revizto dan BIMAGE, hari ini.

Bengkel berkenaan disempurnakan oleh Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, dan disertai pegawai daripada Sektor Bangunan serta Infrastruktur JKR Sarawak bagi meningkatkan pengetahuan dan keupayaan dalam mengaplikasikan teknologi BIM sepanjang proses penyampaian projek.

Menurut kenyataan media JKR Sarawak, program itu bertujuan memperkasa pelaksanaan projek bangunan dan infrastruktur secara lebih telus, berakauntabiliti serta kolaboratif, selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Dalam ucapan perasmiannya, Cassidy mengalu-alukan penyertaan semua peserta selain merakamkan penghargaan kepada Revizto dan BIMAGE atas komitmen, kepakaran serta kerjasama dalam menjayakan bengkel tersebut.

Beliau berkata, JKR Sarawak sejak beberapa tahun lalu telah mengambil pelbagai langkah proaktif untuk menjadikan BIM sebagai antara komponen utama dalam agenda transformasi digital jabatan itu.

SISTEM BIM… Paparan sistem Open BIM Foundation yang digunakan bagi memudah cara penyelarasan, perkongsian maklumat serta pengurusan projek berasaskan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM). Foto JKR

“BIM bukan lagi sekadar alat pemodelan tiga dimensi, sebaliknya menjadi platform strategik yang membolehkan perancangan, penyelarasan, pembuatan keputusan serta pengurusan kitar hayat aset dilaksanakan dengan lebih berkesan sepanjang proses penyampaian projek,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen JKR Sarawak untuk terus menyokong visi transformasi digital kerajaan Sarawak di bawah PCDS 2030.

Menurutnya, pelbagai teknologi digital seperti BIM, Persekitaran Data Bersama (CDE), Kembar Digital, kecerdasan buatan (AI), integrasi geospatial serta penyampaian projek berasaskan data dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan industri pembinaan dan pembangunan infrastruktur di negeri ini.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada kaedah pengurusan projek secara kolaboratif berasaskan BIM, termasuk penyelarasan serta perkongsian maklumat yang mampu meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti dalam kalangan pasukan projek serta pihak berkepentingan.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan JKR Sarawak dalam memperkukuh keupayaan digital, meningkatkan keberkesanan penyampaian projek serta melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi keperluan pembangunan infrastruktur Sarawak pada masa hadapan.

Oleh Afiq Sallehi