PADAWAN: Daerah Padawan merekodkan 23 kes gigitan anjing pada Minggu Epid Pertama iaitu antara 1 hingga 7 Januari lalu.
Jumlah ini adalah daripada 45 kes yang dilaporkan berlaku di Bahagian Kuching.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Ir Lo Khere Chiang berkata, 86 peratus adalah kes gigitan anjing peliharaan.
“Sebab itu, semua anjing peliharaan perlu diberi vaksin dan hendaklah dihalang daripada berkeliaran secara bebas dengan haiwan liar bagi mengelakkan jangkitan rabies,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPP 2023 di Ibu Pejabat MPP di sini, hari ini.
Kumulatif kes gigitan anjing di Bahagian Kuching pada tahun lalu ialah 2,576 kes.
Pada tahun lalu, sebanyak 1,259 kes berlaku di kawasan MPP iaitu 48.9 peratus daripada jumlah kes di Bahagian Kuching.
Lo berkata, menurut data persampelan anjing yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (SVSD), terdapat 13 sampel anjing disahkan positif rabies di kawasan MPP setakat ini.
“Antara kawasan anjing positif rabies ialah Batu 11, Kampung Quop, Beverly Hill Batu 13, Kampung Sungai Tapang, Batu Kawa, Kampung Jawa, Kota Sentosa, Batu 3 ½, Kota Padawan dan Batu 5.
“MPP telah dan masih menjalankan aktiviti pemindahan anjing liar di kawasan tersebut dan juga kawasan lain-lain.
“Dalam pada itu, kami juga telah bekerjasama dengan SVSD dalam menganjurkan program pelesenan anjing, pemvaksinan beramai-ramai dan pemasangan cip mikro.
“Antara lokasi pemasangan cip mikro pada tahun lalu ialah di Pejabat Veterinar Semenggo, SJK Chung Hua Batu Kawa Lama, SJK Chung Hua Sungai Tapang MJC dan Gelanggang Bola Keranjang Kota Sentosa,” katanya lagi.
Menerusi program tersebut, sejumlah 479 lesen anjing dikeluarkan, 710 anjing telah divaksin dan 485 anjing telah mendapat cip mikro.
“Sebanyak 1,325 anjing liar telah ditangkap dan dilupuskan pada tahun lalu melalui operasi harian dan operasi bersepadu rabies.
“Operasi bersama dengan agensi lain turut diadakan pada tahun lepas iaitu pada Mei dan Disember, dan berjaya menangkap 30 anjing liar terutama di kawasan yang terdapat gigitan dan kes rabies seperti Batu Kawa, Matang Jaya, Jalan Penrissen, Kota Padawan, Moyan dan Kota Sentosa,” katanya.
Katanya lagi, pada tahun ini, MPP bercadang untuk meneruskan aktiviti seperti vaksinasi besar-besaran, pelesenan dan cip mikro dengan agensi berkaitan serta mengadakan Operasi Bersepadu Kawalan Rabies melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), IBETS (Immune Belt Enforcement Teams Sarawak), SVSD dan lain- lain majlis di Bahagian Kuching.
Oleh NUR AIN OTSMAN