BINTANGOR: Jerayawara Project of Dream Realized (PRO-DR) anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) merupakan satu jelajah pendidikan terbesar di Sarawak, platform mendapatkan maklumat pendidikan, latihan dan permohonan dana yang harus dimanfaatkan oleh belia.
Menurut Pengurus Kanan Tegas Pembelajaran Komuniti Inovatif (TCIL) Fredick Kevin, kerajaan Sarawak ingin melihat setiap belia mendapat dan diberi peluang sama rata dalam peluang pendidikan dan kerjaya bukan sahaja buat mereka yang tinggal di bandar bahkan juga luar bandar.
Katanya, dengan peluang sedia ada, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dapat merancang kerjaya berdasarkan minat dan kesesuaian keputusan.
“Jerayawara PRO-DR ini merupakan satu jelajah pendidikan yang terbesar di Sarawak yang dibuat dalam satu masa secara berterusan selama empat minggu.
“Program ini bertujuan memberi platform dan peluang kepada pelajar serta belia di kawasan luar bandar untuk mendapatkan maklumat pendidikan, latihan dan permohonan dana,” katanya pada majlis pelancaran Jerayawara PRO-DR Siri ke-8 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Meradong, hari ini.
Katanya lagi, selain pameran pendidikan dan bantuan Pendidikan menerusi PRO-DR Siri Ke-8 ini, TEGAS juga membawa bersama pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memberi maklumat berkenaan peluang pekerjaan kepada pengunjung atau belia yang sedang mencari pekerjaan.
“Selain itu, bagi memeriahkan lagi Jerayawara PRO-DR kali ini, TEGAS turut mengadakan aktiviti-aktiviti sampingan seperti ceramah berkaitan kesihatan mental, klinik persiapan SPM, TEGAS Future Tech Showcase, Pertandingan Karaoke dan eSukan, Pertandingan Memasak, Pesta Jualan Makanan dan Cabutan Bertuah Mega.
“Sebagai sebuah agensi Charitable Trust (Amanah Amal), TEGAS cuba menjadi satu platform terbaik di Sarawak untuk mempromosi pendidikan teknikal dan vokasional (TEVT), Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan keusahawan.
“Dengan ini, TEGAS dapat membantu Kerajaan Sarawak untuk mencapai status sebuah negeri maju menjelang 2030 melalui mencetuskan kesedaran dalam kalangan masyarakat semua kaum,” katanya.
Tambahnya, TEGAS telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan setiap pelajar atau belia di Sarawak diberi peluang yang sama rata,
Oleh Earl Anek