SPAOH: Penganjuran sukan elektronik (e-Sukan) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban mampu membuka peluang kepada lebih ramai belia mengembangkan bakat dan beraksi di pentas lebih tinggi, di samping menggalakkan mereka memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti berfaedah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata e-Sukan kini mempunyai laluan pembangunan yang jelas bermula dari peringkat negeri, kebangsaan sehingga ke persada antarabangsa, sekali gus memberi ruang kepada belia Sarawak mengetengahkan potensi mereka.
Beliau berkata walaupun e-Sukan bukan lagi sesuatu yang baharu, penganjurannya di Bukit Saban merupakan langkah positif dalam memperluaskan penyertaan belia luar bandar dalam bidang berkenaan.
“Bagi Bukit Saban, ini merupakan satu permulaan yang baik. Kita mahu anak-anak muda mempunyai matlamat yang jelas.
“Daripada sekadar menghabiskan masa dengan telefon bimbit, mereka boleh memanfaatkan minat terhadap permainan ini untuk menyertai pertandingan kerana e-Sukan mempunyai laluan pembangunan dari peringkat negeri, kebangsaan hingga ke pentas antarabangsa.

“Siapa tahu, suatu hari nanti akan lahir pemain dari Bukit Saban yang mewakili Sarawak dan Malaysia di kejohanan dunia,” katanya kepada pemberita selepas melawat Program PUBG MOBILE OOOHAAA Sarawak Activation Tour di Dewan Serbaguna Spaoh, di sini, kelmarin.
Uggah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata berbeza dengan sukan konvensional yang lebih bergantung kepada keupayaan fizikal, e-Sukan merupakan sukan minda yang menuntut pemain memiliki pemikiran strategik, kecekapan membuat keputusan serta kebolehan merancang taktikal.
Menurut beliau, kemahiran itu bukan sahaja penting dalam pertandingan, malah mampu membentuk disiplin, daya fokus, semangat kerja berpasukan dan keyakinan diri dalam kalangan belia.
“E-Sukan ialah sukan minda. Ia bukan bergantung kepada kekuatan fizikal, sebaliknya menguji kebijaksanaan dan strategi pemain.
“Saya percaya Sarawak mempunyai potensi untuk melahirkan pemain bertaraf dunia. Sebab itu kita perlu terus memberi sokongan kepada Persatuan e-Sukan Sarawak (SESA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dalam membangunkan bakat anak-anak muda,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak program seumpama itu diteruskan bagi menyediakan platform kepada golongan belia mengasah kemahiran, meningkatkan daya saing serta melahirkan lebih ramai pemain e-Sukan yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Program PUBG MOBILE OOOHAAA Sarawak Activation Tour di Spaoh merupakan siri jelajah ke-13 yang disertai 18 pasukan membabitkan 90 peserta. Program itu dianjurkan oleh SESA dengan kerjasama SDEC dan Kelab Anak Asal Bukit Saban (KAABS).
Dalam pertandingan berkenaan, Zone SQ muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM2,500, diikuti Team Akatsuki di tempat kedua (RM1,500), Legacy Rebel di tempat ketiga (RM400) dan Team LMG di tempat keempat (RM200).
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu, Presiden SESA Afiq Fadhli Narawi, Penasihat KAABS Dr Louis Laja Uggah serta wakil SDEC Liew Fui Phin dan Clay Lee.
Pada masa sama, SDEC menerusi reruai MySRBN turut mengadakan sesi penerangan kepada pengunjung mengenai perkhidmatan kesalinghubungan digital serta promosi yang ditawarkan kepada masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman




