KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menyifatkan Belanjawan Sarawak 2021 sebagai prihatin dalam keadaan seluruh negara menghadapi pandemik Covid-19 dan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.
Menurut Abdullah Saidol, belanjawan yang dibentang Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg adalah antara yang terbesar dalam kalangan negeri lain.
“Jika kita lihat kira-kira 9.832 bilion dan ia satu belanjawan surplus, 30 lebih peratus untuk operasi dan yang penting untuk diketahui RM6.304 bilion adalah untuk pembangunan dan daripada jumlah itu, kira-kira 67 peratus atau RM4.251 bilion adalah untuk pembangunan luar bandar sahaja.
“Setakat 31 Oktober lalu, pendapatan Kerajaan Sarawak adalah RM10.7 bilion, termasuk Cukai Jualan (SST) minyak dan gas kira-kira RM2.98 bilion.
“Ekonomi kita agak lestari namun keberanian dan keprihatinan Sarawak dalam memperuntukkan bajet dengan jumlah ini sangat dihargai,” beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari pertama di Kuching, semalam.
Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) berkata,, terdapat beberapa intipati menarik perhatiannya terutama di kawasan Semop.
“Antara belanjawan yang menarik perhatian saya ialah dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diteruskan dengan RM400 juta.
“RTP ini penting bagi luar bandar kerana membabitkan pelaksanaan projek kecil dan sederhana, dan ini sangat membantu kami wakil rakyat di luar bandar dalam membangunkan kawasan.
“Kedua adalah khususnya untuk Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) yang membabitkan RGC Opar, Beladin dan Semop yang diberi dana RM41.3 juta bagi pembangunan infrastruktur, dengan adanya peruntukan ini ia akan mempercepatkan infrastruktur kami di RGC terutama di Pulau Bruit.
“Sebanyak RM29 juta bantuan untuk nelayan di seluruh Sarawak ketika musim tengkujuh, di kawasan Semop sahaja sudah mempunyai lebih 2,000 nelayan, bantuan ini amat diperlukan oleh masyarakat di kawasan Semop juga,” jelasnya.
Justeru, beliau menjelaskan bahawa, secara keseluruhan belanjawan itu turut bersifat inklusif yang menyentuh pelbagai aspek terutamanya dalam aspek bantuan rakyat, perniagaan, ekonomi dan infrastuktur.
“Bajet ini juga merupakan satu bajet yang besar untuk memastikan para peniaga dapat meneruskan perniagaan mereka serta tidak terlalu terjejas dengan wabak ini.
“Ketika Ketua Menteri membentangkan bajet tersebut tiada nada politik dan sebagainya, tidak seperti pembentangan bajet semasa Pakatan Harapan (PH) dulu terlalu banyak alasan dan serangan politik.
“Saya berharap semua bersatu padu dalam menempuh ketika kesukaran kesan Covid-19 dan memastikan ekonomi kita kekal lestari dan terus berkembang,” katanya