KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Peningkatan peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2027 perlu disusuli langkah berkesan untuk mempercepat akses kepada rawatan, mengurangkan masa menunggu dan memastikan kemudahan kesihatan dapat dinikmati secara lebih saksama.
Pakar Kesihatan Awam daripada Jabatan Kesihatan Komuniti Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Rosliza Abdul Manaf berkata kemajuan sistem kesihatan negara tidak seharusnya diukur berdasarkan peningkatan peruntukan atau kecanggihan teknologi semata-mata, sebaliknya sejauh mana pelaburan itu mampu menjamin penyampaian perkhidmatan yang saksama.
Beliau menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menawarkan pelantikan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak pada 2027 bagi memperkukuh kapasiti dan kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam.
Bagaimanapun, Dr Rosliza berkata pengagihan tenaga kerja kesihatan perlu mengambil kira beban penyakit dan keperluan setempat bagi memastikan kawasan yang mengalami kekurangan tenaga perubatan turut mendapat manfaat.
“Perhatian perlu diberikan kepada pengagihan tenaga kerja kesihatan yang lebih saksama berdasarkan keperluan perkhidmatan dan beban penyakit penduduk.
“Hal ini penting supaya kawasan luar bandar, pedalaman dan fasiliti yang mengalami kekurangan tenaga perubatan turut mendapat manfaat daripada penambahan tersebut,” katanya kepada Bernama mengulas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas pengenalan skim MediAsas, Dr Rosliza menyifatkannya sebagai pendekatan untuk menggalakkan perkongsian tanggungjawab dalam perlindungan kewangan, namun mengingatkan bahawa pelaksanaannya perlu memastikan premium kekal mampu milik tanpa menjejaskan kecukupan simpanan persaraan rakyat.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad menerusi hantaran di Facebook beliau menyatakan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menterjemahkan peruntukan yang diterima kepada penyampaian perkhidmatan cemerlang yang dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
“Kesihatan adalah pelaburan terbesar selepas iman. Setiap sen bernilai akan dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan kesihatan seluruh rakyat Malaysia MADANI,” katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dengan swasta demi manfaat pesakit, khususnya bagi mengurangkan masa menunggu rawatan menerusi peningkatan peruntukan bagi penyumberan luar pesakit.
Presidennya Datuk Dr Kuljit Singh berkata kerjasama itu membolehkan kapasiti fasiliti dan kepakaran perubatan sedia ada dimanfaatkan secara optimum bagi mempercepat diagnosis dan rawatan, khususnya bagi pesakit yang memerlukan intervensi segera seperti pesakit kanser.
“APHM menyambut baik inisiatif kesihatan kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, terutamanya yang memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta demi manfaat pesakit.
“Apa yang paling penting bukanlah besarnya peningkatan belanjawan tetapi hasil kepada pesakit. APHM bersedia untuk bekerjasama rapat dengan KKM dan pihak berkepentingan lain untuk menterjemahkan langkah-langkah ini kepada penambahbaikan sebenar di lapangan,” katanya.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM47.7 bilion kepada KKM serta menegaskan komitmen kerajaan untuk menoktahkan isu doktor kontrak menerusi penawaran lebih banyak jawatan tetap kepada golongan itu.
Sejak 2023, Kerajaan MADANI telah melantik lebih 15,000 doktor kontrak secara tetap, termasuk 4,000 orang pada tahun ini.
“Pada 2027, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke jawatan tetap. Bermakna, selepas ini doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap pegawai perubatan,” kata Anwar. – Bernama





