Belanjawan 2027 perlu diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan – Ahmad Ibrahim

Facebook
WhatsApp
AHLI Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 November: Belanjawan 2027 perlu melalui proses perbahasan dan kelulusan Parlimen terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan bagi mengelakkan ketidaktentuan dalam pengurusan kewangan serta pelaksanaan perbelanjaan kerajaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira implikasinya terhadap pentadbiran dan kewangan negara.

Menurutnya, Dewan Rakyat dijadualkan menyelesaikan perbahasan peringkat jawatankuasa pada 26 November ini, manakala Dewan Negara akan memulakan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 pada 30 November.

Katanya, proses perundangan itu perlu diberi ruang untuk diselesaikan sewajarnya memandangkan belanjawan berkenaan melibatkan peruntukan perbelanjaan kerajaan bernilai ratusan bilion ringgit.

“Persoalannya bukan sama ada Parlimen boleh dibubarkan atau tidak, tetapi adakah sekarang masa yang sesuai untuk berbuat demikian?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembubaran Parlimen sebelum proses perundangan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2027 selesai boleh menyebabkan rang undang-undang berkenaan luput, sekali gus memerlukan kerajaan dan Parlimen baharu membentangkan serta meluluskan semula belanjawan tersebut.

Jelasnya, keadaan itu berpotensi melambatkan kelulusan peruntukan kewangan yang diperlukan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan, projek pembangunan, program infrastruktur dan pelbagai komitmen lain yang melibatkan kepentingan rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia pernah berhadapan situasi sedemikian pada 2022 apabila Parlimen dibubarkan tiga hari selepas Belanjawan 2023 dibentangkan pada Oktober tahun itu.

Susulan itu, katanya, Parlimen pada Disember 2022 terpaksa meluluskan peruntukan sementara bagi perbelanjaan mengurus berjumlah kira-kira RM107.7 bilion bagi memastikan operasi kerajaan dapat diteruskan sementara menunggu kelulusan penuh Belanjawan 2023.

Ahmad Ibrahim berkata, pengalaman berkenaan sepatutnya dijadikan pengajaran supaya negara tidak berdepan komplikasi pentadbiran dan kewangan yang boleh dielakkan.

Beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, selain kebimbangan mengenai peluang pekerjaan, keselamatan makanan serta peningkatan kos sara hidup, menjadikan kestabilan perancangan kewangan negara semakin penting.

Sebagai Ahli Dewan Negara, beliau menegaskan bahawa Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk meneliti perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap peruntukan yang melibatkan wang rakyat diuruskan secara bertanggungjawab.

“Pembubaran awal Parlimen mungkin dibenarkan oleh Perlembagaan, tetapi itu tidak semestinya bermakna masanya sesuai.

“Ada masa untuk berpolitik, ada masa untuk pilihan raya, dan ada masa untuk kita menunaikan amanah serta tanggungjawab kepada negara,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya mengutamakan kepentingan negara dan rakyat dengan memberikan ruang kepada Parlimen untuk menyelesaikan urusan berkaitan Belanjawan 2027 terlebih dahulu.

Oleh Adele Rissa