KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan dan penyedia platform e-hailing Grab bersetuju untuk membiayai bersama satu pakej bernilai RM160 juta bertujuan meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing bermula tahun hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakej tersebut meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum pekerja e-hailing dan p-hailing, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Hal ini bermakna, pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat hingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat hingga RM100 sebulan,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata langkah itu diambil sementara menunggu Majlis Perundangan Gig yang sedang dalam peringkat rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial bagi pekerja gig yang dijangka dimuktamadkan pada awal tahun hadapan.
Beliau berkata sebanyak 600,000 rakyat mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing dan p-hailing sambil menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan membela nasib pekerja gig dengan perlindungan yang lebih menyeluruh.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju menawarkan insentif caruman padanan PERKESO 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing dan akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja.
“Selain pekerja e-hailing dan p-hailing, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan PERKESO 70 peratus kepada lebih 200,000 orang bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori,” katanya.
Anwar berkata pelepasan cukai PERKESO juga diperluas meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri dan pelepasan tambahan diberikan hingga RM150 bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.
Beliau berkata kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada hingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup untuk menggalakkan simpanan persaraan oleh pemandu e-hailing dan p-hailing.
Anwar berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan menyediakan RM270 juta bagi membiayai pekerja gig yang mahu berniaga atau membeli rumah pertama.
Beliau berkata bagi memperkukuh perlindungan sosial, setiap warganegara akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai 18 tahun supaya simpanan persaraan bermula lebih awal.- Bernama




