KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang sebagai usaha untuk memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kerajaan segera meneliti langkah perundangan dan penguatkuasaan bagi melindungi kepentingan peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada persaingan tidak adil, selain turut memastikan barangan yang dibeli oleh rakyat adalah selamat.
“Kerajaan memandang serius keresahan peniaga kecil dengan kewujudan syarikat e-dagang asing yang menyusup ke pasaran negara tanpa pengawasan dan penguatkuasaan,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Belanjawan MADANI Kelima yang bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). – Bernama



