Belanjawan 2027: Bantuan awal persekolahan ditingkatkan kepada RM200 setiap murid

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Bantuan Awal Persekolahan ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid untuk persiapan bagi sesi persekolahan 2027, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak 5.3 juta murid layak menerima bantuan awal dengan peruntukan RM1 bilion.

“Hal ini bermakna, keluarga dengan empat orang anak akan menerima RM800 untuk persiapan bagi sesi persekolahan 2027,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata bantuan itu akan disalurkan di sekolah supaya ibu bapa dapat hadir dan bertemu sendiri dengan guru sebagai tanggungjawab bersama bagi kemajuan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut bersetuju untuk memberikan elaun sara hidup kepada pelajar tingkatan enam berjumlah RM2,500.

Beliau berkata kadar itu menyamai elaun pelajar matrikulasi yang bakal memanfaatkan 90,000 pelajar tingkatan enam.

Bagi Rancangan Makanan Tambahan, Anwar berkata peruntukan RM870 juta disediakan untuk lebih 800,000 murid.

Dalam pada itu, Anwar berkata guru harus kembali kepada tugas mendidik anak-anak tanpa dibebani kerja perkeranian, justeru pengambilan Pembantu Guru diperluas ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi.

Beliau berkata pengambilan itu akan ditambah secara berfasa setelah penilaian keberkesanan dilaksanakan.- Bernama