KUCHING: Sokongan perumahan dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam adalah terhad, kata Dato Sim Kiang Chiok.
Penasihat Persatuan Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) itu berkata meskipun terdapat jaminan pinjaman untuk 57,000 pembeli rumah kali pertama dan RM900 juta diperuntukkan untuk rumah mampu milik, namun tiada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dilaksanakan.
HOC ialah inisiatif kerajaan yang dirancang untuk menyokong pembeli rumah yang ingin membeli hartanah dan merupakan satu bentuk bantuan kewangan kepada pembeli rumah.
”Di bawah HOC, pemaju akan memberikan sekurang-kurangnya diskaun 10 peratus dan kerajaan akan mengetepikan duti setem untuk pembelian hartanah, termasuk dokumen pinjaman.
”Belanjawan 2025 juga kekurangan bantuan deposit sebanyak RM30,000 untuk pembeli kali pertama bagi membantu mereka memenuhi deposit awal,” katanya melalui kenyataan, semalam.
Menjelas lanjut, katanya terdapat pelepasan cukai individu sebanyak RM7,000 untuk pembayaran faedah pinjaman perumahan sehingga RM500,000 yang boleh dituntut untuk tiga tahun taksiran berturut-turut.
Menyambut baik inisiatif tersebut, Bagaimanapun jumlah bantuan itu agak kecil jika dibandingkan dengan langkah lain yang berkemungkinan boleh diusahakan.
Mengulas berkenaan peruntukan bantuan pendidikan dan sokongan kepada ibu bapa dan kanak-kanak autisme yang menjadi antara fokus Belanjawan 2025, beliau berkata ia menunjukkan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap kanak-kanak autisme.
”Sebagai ibu bapa kepada anak autistik, saya menyambut baik inisiatif pemberian bantuan khusus yang disediakan dalam bajet ini untuk kanak-kanak autisme.
”Bajet itu termasuk sokongan untuk pusat latihan awal, sekolah, elaun tunai, bantuan yuran pengajian, geran untuk sekolah autistik swasta, pusat perkhidmatan autisme dan peningkatan dalam pengecualian cukai untuk ibu bapa, daripada RM4,000 kepada RM6,000 untuk rawatan perubatan daripada kanak-kanak autisme,” tambahnya lagi.