KUCHING: Dalam usaha memerangi virus Covid-19 di negeri ini, Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan beberapa hospital swasta untuk memeriksa serta saringan ujian jangkitan wabak itu.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perbincangan sedang diadakan dengan Borneo Medical Centre (BMC), Timberland Medical Centre, Hospital Pakar KPJ Kuching dan Pakar Perubatan Normah.
“Usaha dengan pihak hospital swasta ini adalah untuk meningkatkan keupayaan Kerajaan Negeri untuk menangani keadaan semasa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Masjlis Keselamatan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Ketika ditanya pemberita adakah Kerajaan Sarawak akan membayar sebahagian daripada pembayaran dan kos pemeriksaan dan ujian di hospital-hospital swasta tersebut, Abang Johari berkata pihaknya pada masa ini sedang berbincang dengan hospital terlibat.
“Ini adalah persoalan kemudahan, kos adalah perkara yang berbeza kerana kita boleh mengaturkannya.
“Tetapi perkara utama di sini adalah kemudahan yang ada di hospital-hospital swasta ini.
“Mereka yang melakukan pemeriksaan ini mestilah diperakui oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ia tidak boleh dilaksanakan oleh orang biasa,” ujarnya.
Tegas Abang Johari, sehubungan itu, sekarang Kerajaan Sarawak memperluaskan kemudahan itu ke hospital swasta juga dalam usaha untuk melaksanakan pemeriksaan dan ujian Covid-19.
Menjawab persoalan adakah individu yang hadir perlu membayar kos pemeriksaan dan saringan ujian itu, beliau berkata sekarang ini masih diperingkat perbincangan dengan hospital-hospital swasta yang terlibat.