
MIRI: Bekalan air minuman di pasar raya dan premis peruncitan di sekitar bandar ini masih berada pada tahap mencukupi walaupun berlaku peningkatan permintaan susulan pengumuman penutupan sementara paip utama bekalan air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting berkata, hasil tinjauan yang dilakukannya pada pagi tadi mendapati kebanyakan premis masih mempunyai stok air minuman yang mencukupi, namun terdapat beberapa premis yang sedang menunggu bekalan tambahan daripada pembekal masing-masing.
“Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan premis masih mempunyai stok air minuman yang mencukupi, walaupun terdapat beberapa premis yang sedang menunggu bekalan tambahan daripada pembekal masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke beberapa pasar raya dan premis peruncitan bagi meninjau ketersediaan bekalan air minuman serta tahap kesiapsiagaan penduduk menghadapi gangguan bekalan air sementara, di sini hari ini.
Menurut Ting, sebahagian penduduk hanya mula membeli air minuman dan barangan keperluan lain selepas pengesahan rasmi serta pengumuman penutupan bekalan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata, Sarawak Water telah mengesan kebocoran paip pada 26 Mei lalu dan mengambil tindakan awal termasuk merancang kerja pembaikan, menyelaras tindak balas serta mengeluarkan notis kepada orang ramai.
“Ini memberi masa yang mencukupi kepada penduduk, perniagaan dan institusi untuk membuat persediaan menghadapi penutupan bekalan air tersebut,” katanya.
Tambah beliau, keadaan semasa masih terkawal dan teratur dengan kebanyakan penduduk telah membuat persediaan sewajarnya bagi menghadapi gangguan sementara itu.
Beliau berharap kerja pembaikan dapat berjalan lancar dan bekalan air dapat dipulihkan dalam tempoh segera.
“Kami menggalakkan semua pihak untuk terus bertenang, memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa serta saling membantu sepanjang tempoh ini. Bersama-sama, kita akan dapat mengharungi cabaran ini,” katanya.