MOSCOW: China bersiap sedia untuk senario terburuk, jika semua wartawan negara itu perlu meninggalkan Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kemelut yang berlaku, dan bersedia bertindak balas terhadap wartawan AS yang berpusat di Hong Kong, kata Ketua Pengarang akhbar rasmi Global Times China Hu Xijin pada Selasa.
“Daripada apa yang saya tahu, memandangkan pihak AS belum memperbaharu visa wartawan China, pihak China bersedia dengan situasi terburuk itu, jika semua wartawan negara ini harus meninggalkan AS. Andai itu berlaku, China akan bertindak balas, termasuk menyasarkan wartawan AS yang berpusat di Hong Kong,” memetik Twitter Hu lapor agensi berita Sputnik.
AS berulang kali menuduh China melakukan kesalahan dalam menangani dan melaporkan pandemik Covid-19 pada permulaan penularannya, serta menapis berita berkaitan dengan pandemik tersebut.
Pada Februari, kira-kira 60 wartawan negara itu terpaksa meninggalkan AS. Washington juga mewajibkan cawangan media China untuk memaklumkan Jabatan Negara mengenai kakitangan mereka dan hartanah yang dimiliki di AS.
Kementerian Luar China berkata, pada Mac wartawan daripada cawangan utama AS-New York Times, Wall Street Journal dan Washington Post – mesti menyerahkan pentauliahan akhbar mereka sebagai tindak balas terhadap keputusan AS untuk mengurangkan kakitangan cawangan media China di AS.- Bernama