
KUCHING: Majlis memperingati 80 Tahun Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 bakal berlangsung pada 27 Mac 2025 dari 9.00 pagi hingga 11.00 pagi di Padang Merdeka, Kuching.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah, majlis peringatan tersebut diadakan bagi mengenang jasa pejuang yang terlibat dalam Operasi Semut, sebuah misi rahsia pasukan khas Australia yang mendarat di Sarawak pada 1945 bagi menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
“Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah untuk memastikan kelancaran program dan pergerakan lalu lintas dengan melaksanakan penutupan jalan di beberapa lokasi.
“PDRM memohon kerjasama orang ramai yang hadir agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan serta memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah beliau, penutupan jalan bagi keperluan program itu dijadualkan pada 26 Mac 2025, dari 9.00 pagi hingga 11.00 pagi.
“Penutupan jalan tersebut merangkumi kawasan jalan lampu isyarat RTM dan susur ke Padang Merdeka, Jalan McDougall menghala ke Jalan Tun Abang Haji Openg (Hotel Merdeka Palace), Jalan Wawasan ke Jalan Tun Abang Haji Openg serta Jalan Tun Abang Haji Openg menghala ke Padang Merdeka di kawasan Mahkamah Lama dan lampu isyarat Plaza Merdeka.
“Selain itu, pada 27 Mac 2025, penutupan jalan akan dilakukan semasa majlis peringatan bermula pada 8.30 pagi hingga 11.00 pagi di lokasi yang sama.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082259900,” jelasnya.
Oleh Masrin Affirah