SARATOK: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) meluluskan sebanyak empat projek pembangunan bernilai RM10.72 juta yang akan ditender, bulan depan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, tiga daripada projek tersebut melibatkan kerja-kerja menaik taraf pintu air, sementara itu satu projek lagi menaik taraf jalan pertanian dan kerja-kerja berkaitan.
“Kerja-kerja menaik taraf pintu air melibatkan Kampung Kupang, Kampung Perpat Kabong, Kampung Paloh Kabong. Manakala, menaik taraf jalan pertanian dan kerja-kerja berkaitan membabitkan kawasan Sungai Tali Paun seberang pekan Saratok.
“Ini merupakan berita gembira buat rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka apabila projek yang dipohon oleh rakyat sebelum ini, akhirnya akan ditender dan seterusnya dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat libat urus projek BDDA bersama agensi pelaksana di Pejabat Daerah Saratok, hari ini.
Mohamad Duri berharap kesemua pelaksanaan projek-projek itu nanti akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar terutamanya golongan pekebun kecil.
“Saya berharap dengan kerjasama semua bersama agensi pelaksana untuk turun padang berterusan untuk memantau pelaksanaan projek terbabit itu nanti,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Misis Aris ketika ditemui turut menyatakan rasa teruja apabila permohonan penduduk kampung Kupang dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Ia sekali gus memberikan impak yang sangat besar di mana sistem pengairan di Kampung Kupang akan lebih tersusun dan pastinya memberikan manfaat yang sangat baik kepada semua pemilik kebun,” katanya.
Oleh Adi Safarman