BDA-FORCA jalin kerjasama strategik sempena Karnival Makanan Bintulu 2026

Facebook
WhatsApp
PENGURUS Besar BDA, Datu Muhamad Yaakup Kari menerima kunjungan hormat daripada Presiden FORCA, Datuk Kong Kung Kwong bersama barisan kepimpinan FORCA di pejabat BDA hari ini.

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menerima kunjungan hormat daripada barisan kepimpinan Gabungan Persatuan Cina Berdaftar Bintulu (FORCA) sebagai langkah awal ke arah menjalin kerjasama strategik menjelang penganjuran Karnival Makanan Bintulu 2026.

Kunjungan tersebut disambut oleh Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yaakup Kari, bersama pegawai kanan agensi di pejabat BDA hari ini.

Delegasi FORCA diketuai oleh Presidennya, Datuk Kong Kung Kwong, diiringi Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Penganjur, Sim Siang Boo; serta Naib Presiden, Kong Fua Ching dan Lai Woon Wui; wakil Seksyen Wanita, Kwan Muk Lan, dan Bendahari, Chia Hong Ting.

Pertemuan tersebut membincangkan potensi kolaborasi antara BDA dan FORCA dalam menjayakan program komuniti berimpak tinggi yang dapat merancakkan sektor pelancongan, kebudayaan serta keusahawanan tempatan di Bintulu.

Karnival Makanan Bintulu 2026 dijangka menjadi salah satu acara tahunan utama yang bukan sahaja mempromosikan keunikan cita rasa tempatan, tetapi turut mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.

Oleh Carolyne Utih