

PENGISIAN AKTIVITI… Antara pengisian aktiviti pihak bomba di Rumah Embom, Selidap. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Usaha mendekati masyarakat luar bandar terus diperkasa apabila pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor turun padang menyantuni penduduk Rumah Embom, Selidap, semalam.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya turut memberi taklimat ringkas mengenai keselamatan kebakaran.
“Program komuniti ini merupakan sebahagian daripada inisiatif proaktif BBP Bintangor bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap risiko kebakaran dan kepentingan tindakan awal, terutamanya dalam komuniti rumah panjang.
“Program ini amat penting kerana ia membolehkan kami menyampaikan ilmu secara langsung kepada penduduk luar bandar, khususnya berkaitan langkah pencegahan dan keselamatan kebakaran di rumah panjang,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kesedaran awal mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda, lebih-lebih lagi dalam struktur kediaman berkongsi seperti rumah panjang.
“Program ini dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin dan pasukan Alpha BBP Bintangor yang memberi penerangan berkaitan langkah keselamatan asas serta cara bertindak sekiranya berlaku kebakaran.
“Antara pengisian utama ialah pengenalan penggunaan alat pemadam api, termasuk demonstrasi ringkas cara mengendalikannya dalam situasi kecemasan,” katanya.
Tambahnya, program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara BBP Bintangor dan masyarakat setempat, malah memberi nilai tambah kepada komuniti luar bandar melalui ilmu yang praktikal dan relevan.
Oleh Earl Anek