KUCHING: Bazar Ramadan Satok yang merupakan lokasi tumpuan bakal memeriahkan kembali bulan puasa yang bermula bulan hadapan selepas ia dibatalkan tahun lalu akibat pendemik Covid-19.
Dua lagi bazar yang turut dibuka di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) iaitu di Semarak dan Sukma Ria.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, keputusan pembukaan ketiga-tiga bazar ramadan dibuat selepas mendapat pandangan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Ketua Menteri bersetuju bazar ramadan kembali dibuka namun peniaga dan orang ramai perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Susunan meja juga akan mengikut kluster (kumpulanan makanan dan minuman) bagi mengelak keadaan terlalu sesak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Bersama Menteri Bertanggungjawab DBKU di sini, semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, bilangan tapak untuk bazar Ramadan tahun ini juga berkurangan berbanding sebelum ini bagi mengelak keadaan terlalu sesak.
Sebanyak 55 petak disediakan di Bazar Ramadan Satok, 32 petak di Bazar Ramadan Semarak dan 68 petak di Bazar Ramadan Sukma Ria.
Menurutnya, proses pendaftaran dan jualan tapak akan diadakan pada 2 April di Auditorium DBKU bermula jam 8 pagi hingga 10 pagi untuk Bazar Ramadan Satok.
Masa pendaftaran bagi Bazar Ramadan Semarak pula dari 10.30 pagi hingga 11.30 manakala Bazar Ramadan Sukma Ria dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Dr Abdul Rahman berkata, tempoh ketiga-tiga bazar Ramadan dari 13 April hingga 12 Mei dari jam 2.00 petang hingga 7.00 petang.
Turut hadir Pengarah DBKU Dr Moshidi Ahmad.
Oleh JEAKQLEYN YACHO