BAYERN Munich meraih gelaran kelima mereka tahun ini semalam dengan gol lewat Joshua Kimmich melengkapkan kemenangan 3-2 ke atas Borussia Dortmund untuk menjulang Piala Super Jerman.
Tuan rumah Bayern mendahului 2-0 dengan gol dalam separuh pertama menerusi Corentin Tolisso dan Thomas Mueller, hanya untuk Erling Braut Haaland menyamakan kedudukan pada awal babak kedua setelah Julian Brandt mengurangkan defisit untuk Dortmund sebelum rehat.
Bagaimanapun, Kimmich menyelesaikan masalah itu dengan penuh tekad dalam stadium kosong di Allianz Arena.
Percubaan awalnya berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Dortmund, Marwin Hitz, tetapi bola yang muntah terkena Kimmich dan bergolek melepasi garisan untuk gol kemenangan lapan minit sebelum tamat.
“Joshua merupakan pemain berkelas dunia. Cara dia memasukkan bola ke dalam,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer dengan kaguman.
Setelah menyaksikan rekod kemenangan 23 perlawanan mereka berakhir dengan kekalahan mengejut di Hoffenheim pada Ahad, Bayern bangkit dengan Kimmich memimpin serangan.
“Selama saya mengenalnya (Kimmich), mentalnya sangat istimewa. Dia dalam perjalanan untuk menjadi salah seorang pemain yang membentuk kelab ini,” kata ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick kepada penyiar ZDF.
Bayern telah memenangi gelaran Bundesliga lapak kali berturut-turut, Piala Jerman, Liga Juara-Juara UEFA dan Piala Super UEFA tahun ini.
Ini merupakan kali keempat dalam lima tahun mereka memenangi piala ini.
Penjaga gol Dortmund, Roman Buerki dan pemain sayap Jadon Sancho terlepas penerbangan ke Munich kerana ‘jangkitan pernafasan’, kata kelab itu, tetapi kedua-duanya negatif Covid-19.
Flick membuat lima perubahan dari pasukan yang tewas 4-1 di Hoffenheim.
Leroy Sane diketepikan oleh kecederaan lutut, Leon Goretzka berehat dan Segre Gnabry bermula di bangku pemain simpanan.
Pemain pertahanan kiri dari Kanada, Alphonso Davies diletakkan di posisi sayap dan Tolisso bermula di bahagian tengah. – AFP