MIRI: Batik Air kini menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Miri.
Ini menandakan destinasi keempat syarikat penerbangan ini di Sarawak selepas Kuching, Sibu dan Bintulu.
Hari ini, penerbangan sulungnya mendarat di Lapangan Terbang Miri dengan membawa 63 penumpang dan lapan orang anak kapal.
Penumpang yang tiba dengan penerbangan sulung ini menerima kalungan manik tradisional oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melambangkan sambutan mesra dan kepelbagaian warisan budaya Sarawak.
Turut hadir menyambutkan ketibaan pesawat dan penumpang ialah Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Datu Wong Hee Sieng, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dan Pengurus Besar Batik Air Muhammad Arif Ab Aziz.
Kim Shin dalam ucapannya berkata, laluan baharu ini adalah langkah penting untuk meningkatkan aksesibiliti ke Sarawak.
“Bermula hari ini, Batik Air akan mengendalikan dua penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Miri, menjadikan jumlah keseluruhan 14 penerbangan seminggu,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Arif menyatakan komitmen Batik Air untuk menghubungkan pelbagai destinasi sambil menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan Sarawak.
“Miri kini menjadi destinasi penting dalam rangkaian kami, menawarkan lebih peluang kepada pelancong untuk menerokai keindahan Sarawak,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling