PETRA JAYA: Seruan berunsur pemencilan, kesempitan dan kepuakan tidak boleh dibiarkan mengatasi kepentingan nasional kerana kekuatan Malaysia bergantung kepada perpaduan rakyatnya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata rakyat Malaysia perlu melihat masa depan negara dalam kerangka yang lebih besar dengan mengutamakan kepentingan bersama, meliputi rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kalau bicara soal negara, semua sama ada dari corong-corong Sarawak atau Sabah atau lebih-lebih lagi Semenanjung, bahawa suara ke arah pemencilan, kesempitan, puak, jangan izinkan mereka mengatasi kepentingan kebangsaan negara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, malam ini.
Menurut beliau, majoriti rakyat Malaysia masih mengutamakan kesatuan yang kukuh walaupun negara mempunyai masyarakat yang berbeza dari segi kaum, agama dan budaya.
Katanya, perbezaan berkenaan perlu diberi ruang untuk disuarakan dalam sebuah negara demokratik, namun ruang perbincangan itu hendaklah digunakan untuk membina dan bukannya merobohkan.
“Ruang bicara itu adalah untuk membina bukan untuk merobohkan,” katanya.
Anwar berkata perpaduan yang kukuh penting bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata pembinaan sesebuah negara memerlukan puluhan tahun menerusi perjuangan, kesabaran dan kebijaksanaan, namun kekuatan yang dibina dalam tempoh panjang boleh terhakis dalam masa singkat sekiranya perpaduan tidak dipelihara
Oleh Afiq Sallehi



