SIMUNJAN: Kawasan Parlimen Batang Sadong memerlukan lebih banyak lagi peruntukan dalam usaha membangunkan kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, jalan lorong yang terdapat di kawasan Simunjan khususnya Kampung Tanjung Pisang amat memerlukan penambahbaikan bagi memudahkan penduduk kampung di kawasan itu.
“Jadi saya memohon kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperuntukkan RM3 juta kerana duit Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tidak cukup untuk kita mengemas kini jalan lorong di seluruh kawasan kita ini,” katanya.
Beliau berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri Abang Johari di Kampung Tanjung Pisang Simunjan di sini hari ini.
Awla turut menyatakan bahawa kawasan Kampung Ensengei Iban juga memerlukan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi menyiapkan kawasan luar rumah (ruai) mereka yang terbengkalai.
“Tiga tahun lepas saya telah memperuntukkan dana RM50,000 khas untuk membaiki ruai mereka namun kontraktor telah menarik diri kerana tidak dapat menjalankan tugas dengan baik.
“Ini ditambah lagi dengan pembinaan benteng yang tidak berkualiti. Jadi kami telah melantik kontraktor baharu dengan lebihan duit RM340,000 dan duit itu tidak mencukupi.
“Saya telah berunding dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) namun, saya dimaklumkan bahawa ia memerlukan RM1.1 juta.
“Sudah tiga tahun penduduk di sini meraikan Gawai Dayak dan Krismas di ruai di hadapan rumah,” katanya.
Awla turut meminta agar kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membangunkan benteng mini di kawasan jalan masuk ke Kampung Tanjung Pisang.
“Ini penting agar mereka yang menjalankan aktiviti pertanian di sini dapat bercucuk tanam dengan baik.
“Kebanyakkan mereka ini adalah petani jadi secara tidak langsung dapat menghalang air masuk ke tebing untuk mereka bercucuk tanam. Rugi kalau kawasan ini tidak dibangunkan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, jeti yang baik juga amat diperlukan di kawasan kampung Simunjan kerana kebanyakkan masyarakatnya menjalankan aktiviti sebagai nelayan.
Beliau berkata, perkara ini adalah untuk memudahkan penyimpanan bot atau perahu.
Oleh NICKELYSON LAKUN