Lelaki warga emas hilang di kebun ditemui selamat

Facebook
WhatsApp
WARGA EMAS LELAKI.....Hilang di kebun petang semalam, ditemui selamat pagi tadi.

KAPIT, 22 Oktober: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebunnya di kawasan Serian, Baleh di sini petang semalam, ditemui selamat oleh orang awam pagi tadi.

Mangsa berusia 72 tahun ditemui kira-kira dua kilometer dari jalan raya utama selepas usaha pencarian dilakukan oleh penduduk rumah panjang dan orang awam.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya di Pulau Memuas, Baleh, sekitar 2.00 petang semalam untuk pergi ke kebunnya di Serian, Baleh.

Bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah sehingga laporan orang hilang dibuat kepada pihak polis.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima panggilan daripada Balai Polis Kapit pada 9.05 pagi tadi, sebelum pasukan operasi digerakkan ke lokasi kejadian.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Kapit bergerak ke Balai Polis Kapit untuk mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya ke lokasi kejadian.

Pada 10.07 pagi tadi, PKO BBP Kapit tiba di lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan selamat.

Mangsa kemudian dibawa pulang ke kampung oleh ahli keluarga dan jirannya.

Operasi SAR hari pertama itu melibatkan tiga anggota BBP Kapit, empat anggota polis dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi ditamatkan pada 1.34 tengah hari.

Oleh Akun Giman