KABONG: Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencuri tujuh batang kayu engkabang di tepi jalan di Kampung Hilir Kabong, di sini, pada 12 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji, semalam.
Menurutnya, kejadian terbongkar selepas seorang pengadu berusia 32 tahun dimaklumkan pekerjanya bahawa tujuh batang kayu berukuran dua kali lima inci dengan panjang kira-kira 12 kaki yang diletakkan di tepi jalan berkenaan telah hilang.
“Kerugian akibat kejadian dianggarkan sekitar RM210. Suspek kemudian berjaya dikesan dan ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kabong,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Ego berwarna merah jambu, sebatang kayu berukuran kira-kira 12 kaki serta sehelai baju berwarna merah jambu.
“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku mengambil kesemua tujuh batang kayu tersebut menggunakan motosikalnya dalam dua perjalanan, iaitu empat batang pada perjalanan pertama dan tiga batang pada perjalanan kedua.
“Kayu berkenaan kemudian dibawa pulang dan disimpan di bawah rumah suspek. Suspek juga mengaku melakukan perbuatan itu seorang diri,” katanya.
Lebih mengejutkan, suspek dipercayai baru sahaja dibebaskan dari penjara pada Mei lalu selepas menjalani hukuman atas kesalahan mencuri kayu pada 2025.
Mathew berkata, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau, termasuk tiga kes berkaitan kesalahan mencuri serta satu kes berkaitan dadah.
“Ujian saringan air kencing suspek turut didapati positif Amphetamine (AMPT) dan Methamphetamine (MEPTH).
“Siasatan mendapati suspek dipercayai mencuri kayu berkenaan bagi mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Oleh Adi Safarman





