
Foto Facebook Dato Sri Tiong King Sing
SIBU: Orang ramai yang ingin membantu mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, masyarakat perlu bersatu dalam menghadapi bencana ini dengan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya menggesa orang ramai untuk turut serta dalam usaha bantuan dengan menderma makanan kering atau keperluan lain.
“Sumbangan boleh disalurkan melalui talian 013-7717103,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya.
Terdahulu, Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Sibu Jaya bagi menilai keadaan dan memahami keperluan mangsa.
Beliau berkata, seramai 65 mangsa telah ditempatkan di pusat pemindahan tersebut selepas Sibu dilanda banjir buat kali kedua dalam tempoh singkat.
Memandangkan kejadian ini berlaku ketika umat Islam menjalani ibadah puasa, beliau memaklumkan bahawa persiapan khas telah dibuat bagi memastikan keperluan makanan mangsa dan petugas di pusat pemindahan dipenuhi.
“Salah satu kebimbangan utama adalah bekalan air yang tidak mencukupi. Saya telah menghubungi pihak berkuasa berkaitan bagi mempercepatkan penyelesaiannya.
“Justeru itu, saya telah berkoordinasi rapat dengan JKM bagi memastikan saudara Muslim kita mendapat makanan panas untuk berbuka puasa,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, Tiong berkata beliau secara peribadi telah membeli minuman, makanan kering dan keperluan lain untuk menambah stok makanan di pusat pemindahan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa perhatian khusus diberikan kepada golongan rentan, terutamanya warga emas, bagi memastikan keperluan mereka terjaga.
“Kami telah menyediakan meja khas di kawasan tertentu untuk meletakkan bekalan penting bagi memastikan akses lebih mudah dan mengurangkan keletihan yang tidak perlu,” jelasnya.
Tiong turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas dan sukarelawan yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir di kawasan tersebut.
Oleh Tarani Lanting