BAU: Polis Bau memperhebat usaha memerangi jenayah komersial menerusi kempen kesedaran antipenipuan yang menyasarkan warga sekolah, dengan lebih separuh sekolah di daerah ini telah menerima program berkenaan.
Dalam temu bual bersama Utusan Sarawak, Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, inisiatif itu bertujuan memberi pengetahuan kepada guru dan warga sekolah bagi mengenal pasti pelbagai taktik penipuan serta mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa.
Beliau berkata, ceramah Kesedaran Jenayah Komersial terbaharu telah diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan semalam. Program itu menyaksikan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Bau memberi penerangan kepada guru mengenai perkembangan terkini jenayah komersial serta langkah pencegahan.
“Antara modus operandi yang dibentangkan termasuk penipuan e-dagang, penipuan panggilan telefon, pinjaman tidak wujud, keldai akaun, penipuan cinta, penipuan bersemuka serta penipuan pembayaran menggunakan kod QR.
“Peserta turut diberikan panduan praktikal untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. Risalah maklumat berkaitan pencegahan penipuan juga diedarkan sepanjang program,” katanya.
Mohd Haide berkata, pegawai turut memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), termasuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), aplikasi Whoscall dan portal Semak Mule.
Menurut beliau, perkhidmatan itu membantu orang ramai membuat semakan terhadap transaksi mencurigakan selain meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan digital.
Beliau berkata, Polis memandang serius ancaman jenayah komersial kerana sindiket penipuan menyasarkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, tahap pendidikan atau latar belakang.
Menurut statistik rasmi Kementerian Dalam Negeri, rakyat Malaysia mengalami kerugian RM830 juta akibat penipuan dalam talian bagi tempoh lima bulan pertama 2026. Jika digabungkan dengan kerugian pada 2024 dan 2025, jumlah keseluruhan mencecah RM5.37 bilion.
Mengulas pelaksanaan program di Bau, Mohd Haide berkata daerah itu mempunyai 44 sekolah yang terdiri daripada empat sekolah menengah dan 40 sekolah rendah.
Katanya, semua empat sekolah menengah telah selesai menerima ceramah pencegahan jenayah komersial, dengan tiga sekolah diliputi pada 2025 dan sebuah lagi pada tahun ini.
“Bagi sekolah rendah pula, sebanyak 19 daripada 40 sekolah telah selesai mengikuti program kesedaran setakat semalam.
“Secara keseluruhan, 23 daripada 44 sekolah di Bau atau 52.27 peratus telah berjaya diliputi,” katanya.
Beliau menambah, selepas program di semua sekolah selesai, Polis Bau akan memperluaskan kempen kesedaran itu ke jabatan kerajaan dan sektor swasta bagi meningkatkan ketahanan masyarakat terhadap jenayah penipuan.
Oleh Connie Chieng



