KUALA LUMPUR, 8 Oktober: Kerajaan meneruskan bantuan input dan insentif produktiviti kepada pekebun kecil sawit persendirian (PKP), termasuk di Sarawak.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata bantuan itu disediakan bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan pekebun kecil.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Pertanyaan Lisan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Huang, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kementeriannya menyediakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) bagi membantu pekebun kecil menggantikan pokok sawit tua dan tidak produktif.
“Bantuan input di bawah skim itu merangkumi anak benih sawit berkualiti, baja, racun dan peralatan penyelenggaraan kebun, selain kawalan serangan Ganoderma terutama pada peringkat awal pertumbuhan.
“Bagi pekebun kecil yang mengusahakan kebun matang dan mematuhi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Huang berkata sokongan turut diberikan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Ia termasuk bayaran penuh kos audit pensijilan MSPO, latihan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan khidmat nasihat teknikal berkaitan pembajaan melalui Kelompok Sawit Mampan (SPOC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, pekebun kecil yang layak turut menerima bantuan fizikal seperti rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).
Huang berkata kerajaan telah dan sedang menyediakan insentif produktiviti secara berterusan kepada pekebun kecil sawit persendirian dan akan menambah baik bantuan berkenaan.





