ADI SAFARMAN
BINTULU: Kesukaran dalam menghantar bantuan makanan kepada yang memerlukan terutamanya ke kawasan sekitar pedalaman bukanlah penghalang utama bagi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Extrameal Bintulu.
Malah halangan tersebut merupakan satu cabaran yang harus ditempuhi dan memastikan penduduk di pinggir bandar tidak terputus bekalan makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
Pengasas Extrameal Bintulu, Francis Ngu Hown Hua berkata, pihaknya yang menghantar makanan mempertaruhkan nyawa mereka setiap kali keluar menyalurkan bantuan yang sangat diperlukan kepada beberapa kampung dan rumah panjang terpencil di kawasan luar bandar terutamanya di kawasan Bintulu.
Katanya, sejak minggu lalu Extrameal Bintulu telah berjaya menghulurkan bantuan makanan kepada seramai 1,000 penduduk di kawasan yang mengalami kesukaran akses jalan dan juga perkampungan yang menggunakan pengangkutan sungai.
“Kesukaran tersebut membuatkan kami menjadi lebih bersemangat untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar, biarpun sedia maklum menyedari kami telah mempertaruhkan nyawa setiap kali keluar menyalurkan bantuan yang sangat diperlukan kepada mereka yang mengalami kesusahan mendapatkan bekalan makanan di kawasan atau perkampungan yang sukar di akses melalui pengangkutan darat atau air.
“Melalui kesukaran yang ditempuhi itu, Extrameal Bintulu akhirnya berjaya menyampaikan bantuan makanan kepada 1,000 penduduk daripada 620 buah keluarga dalam tempoh seminggu proses pengagihan bantuan dijalankan sejak minggu lalu,” ujar beliau ketika dihubungi Utusan Sarawak semalam.
Walaupun begitu, Francis berkata pasukan penghantaran akan meneruskan apa yang dilakukan sejak beberapa hari lalu, tanpa mengira hujan atau panas.
Jelas beliau di kawasan bandar, cabaran yang dihadapi oleh pihaknya dalam misi menghantar bantuan makanana kepada penduduk adalah agak berbeza.
“Bezanya penghantaran di kawasan-kawasan bandar, pihak kami tidak banyak mengalami masalah untuk menghantar bantuan kepada mereka yang memerlukan, malah bagi mereka yang juga belum mendapat bantuan boleh datang sendiri ke Ing Hua Store di Jalan Sultan Iskandar jika mereka mempunyai pengangkutan sendiri.
“Ia sekaligus adalah bagi memastikan penduduk di pedalaman bahagian ini tidak terputus bekalan makanan serta mengelakkan mereka keluar dari kawasan penempatan semasa tempoh PKP dilaksanakan,” tegas beliau.
Menurutnya, sumbangan yang diberikan iaitu beras, gula, garam, kopi, teh serta barangan keperluan harian yang lain.
“Melalui sumbangan yang diberikan ini, secara tidak langsung Extrameal Bintulu membantu dalam meringankan beban setiap keluarga yang tidak dapat keluar mencari rezeki sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, beliau mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada orang perseorangan, tauke-tauke pasaraya dan juga rakan-rakan yang telah menyumbangkan barangan keperluan seperti makanan, minuman serta wang ringgit untuk disumbangkan kepada golongan sasar di sekitar Bintulu.
Beliau turut berpesan kepada penduduk yang berada di sekitar Bintulu iaitu golongan yang benar-benar memerlukan agar berjumpa dengan beliau bagi tujuan bantuan tersebut.
“Extrameal Bintulu telah siap sedia untuk membantu kepada golongan yang memerlukan bantuan, dan pihak kita telah persiapkan diri untuk melakukan pengagihan dengan perlahan-lahan,” katanya.