KUCHING: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini mengumumkan pelancaran Hab Usahawan iTEKAD baharu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak yang berperanan sebagai pusat sehenti latihan dan bimbingan untuk usahawan mikro tempatan, khasnya golongan B40 dan asnaf.
Ia merupakan hab ketiga selepas pembukaan hab di Kolej Universiti Bestari (UCB) di Setiu, Terengganu dan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), masing-masing pada 5 Ogos dan 11 November 2024.
Pelancaran penyediaan Hab Usahawan iTEKAD di UiTM Sarawak telah disempurnakan oleh Pemangku Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Madya Dr Mohammad Isa Mohamadin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato Mohd Muazzam Mohamed, pada Karnival Celik Kewangan Sarawak di Vivacity Megamall, di sini semalam
Menurut kenyataan Bank Islam hari ini, kerjasama antara bank itu dan institusi pengajian tinggi terpilih ini adalah sebahagian inisiatif pembangunan komuniti tempatan.
“Ia bermatlamat untuk memperkasakan usahawan mikro dengan menyediakan kemahiran yang relevan dan praktikal bagi memastikan daya tahan perniagaan yang dimiliki dalam mendepani cabaran semasa.
“Di hab ini, usahawan berpeluang mempelajari strategi untuk mengembangkan potensi perniagaan melalui pengurusan kewangan, pemasaran digital dan kemahiran teknikal produk serta membentuk rangkaian dalam kalangan usahawan iaitu aspek penting dalam membina perniagaan yang mampan,” katanya.
Pada masa sama, pembangunan Hab Usahawan iTEKAD ini juga membuka ruang peningkatan kemahiran dan pengetahuan pensyarah dan pelajar institusi terlibat melalui penyediaan latihan perniagaan selain membimbing pelanggan iTEKAD yang memerlukan
dalam komuniti mereka.
Ia sekali gus menjadi satu usaha holistik yang memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Mohd Muazzam berkata, komitmen pihaknya adalah untuk membantu memperkasa komuniti B40 dan asnaf dengan menyediakan sokongan modal dan latihan yang berkesan.
“Sejak 2021, kami telah menyalurkan lebih RM30 juta kepada hampir 1,600 usahawan mikro melalui program iTEKAD.
“Dengan pelancaran Hab Usahawan iTEKAD ini, kami berharap dapat memperkukuh dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.