
MUKAH: Loji Rawatan Air Dalat di Bahagian Mukah masih belum dapat beroperasi susulan paras air sungai yang kritikal akibat banjir.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penghantaran bekalan air bersih sedang giat dilakukan dengan bantuan JBALB Bahagian Sarikei, Sibu dan Bintulu ke kawasan yang terjejas.
Loji rawatan air di bahagian lain di Sarawak beroperasi seperti biasa, namun pemantauan tetap diteruskan bagi memastikan kelancaran bekalan air di seluruh negeri.
“Pasukan kami akan terus memantau keadaan di semua loji rawatan air dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi sebarang gangguan,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang terjejas boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211 untuk sebarang pertanyaan atau aduan mengenai gangguan bekalan air.
JBALB Sarawak menegaskan komitmen mereka dalam memastikan rakyat Sarawak terus menerima perkhidmatan air bersih tanpa gangguan.