Tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak, persempadanan Tanah Melayu turut dikaji

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Dato’ Sri Ramlan Harun. Foto Bernama

KUCHING: Kajian semula persempadanan susulan cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak turut melibatkan Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu, sekali gus tidak hanya tertumpu kepada dua negeri berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Dato’ Sri Ramlan Harun berkata, perkara itu merupakan antara yang akan diambil kira dalam pelaksanaan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya, tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam konteks persempadanan Bahagian Pilihan Raya di ketiga-tiga unit kajian tersebut pula, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media SPR Bilangan 41/2026 hari ini.

Tambah beliau, penambahan kerusi Parlimen itu kelak turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan daripada kedudukan semasa.

Perkara itu dinyatakan SPR selepas mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Anwar sebelum ini menyentuh perkara berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu.

Dalam pada itu, SPR berkata pihaknya akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara berkenaan dimaklumkan kepada umum.

Perkembangan terbaharu itu menunjukkan kajian berkaitan persempadanan selepas cadangan penambahan kerusi Parlimen tidak hanya membabitkan kedudukan kerusi Sabah dan Sarawak, malah turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu.