
KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, menyifatkan banjir kali ini sebagai luar biasa apabila kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air turut ditenggelami.
Menurutnya, hampir seluruh kawasan di DUN Ngemah terjejas, menyebabkan beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka sejak malam tadi bagi menempatkan mangsa banjir.
“Banjir kali ini amat teruk, banyak kawasan rendah dinaiki air.
“Saya menasihatkan semua penduduk agar terus berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.



KEADAAN sekitar Kanowit yang ditenggelami air akibat banjir yang melanda. Foto Facebook Pusat Khidmat DUN Ngemah
Antara kawasan yang terjejas ialah Ng Ngemah, Ng Baloh, Ng Dap, Jih, Pedai, Bawan, Mapai, Kabah, dan Rantau Dilang.
Beberapa laluan utama turut terputus akibat ditenggelami air, menyukarkan pergerakan penduduk.
Dalam pada itu, pelbagai agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), serta sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) telah dikerahkan bagi membantu memindahkan mangsa yang terjejas.



KEADAAN sekitar Kanowit yang ditenggelami air akibat banjir yang melanda. Foto Facebook Pusat Khidmat DUN Ngemah
Sehubungan itu, Anyi meminta orang ramai yang berdepan kecemasan untuk segera menghubungi Sekretariat Pengurusan Bencana melalui talian 084-220044 (PKOD Sibu), 014-5755882 (PKOD Kanowit) dan 084-891285 / 011-35595002 (PKOD Selangau).
Penduduk juga dinasihatkan agar terus peka dengan perkembangan semasa dan mengikuti arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Tarani Lanting