SELANGAU: Enam unit bilik kuarters guru dan satu unit dewan makan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kua, di sini terjejas akibat dinaiki air petang tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Selangau, Lt. (PA) Luke Douglas Dongum berkata, seramai dua guru, tiga Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan empat pekerja swasta menginap sementara di bangunan kelas yang tinggi.
“Tinjauan dilakukan pada petang ini, mendapati kawasan sekolah masih dinaiki air dan menjejaskan beberapa struktur bangunan sekolah iaitu enam unit bilik kuarters guru dan satu unit dewan makan,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.
Katanya, setakat ini tiada perpindahan mangsa dilakukan dan kawasan sekolah akan dipantau dari semasa ke semasa.
“Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memberi nasihat kepada pihak sekolah untuk berpindah ke tempat lebih tinggi dan menghubungi agensi sekiranya paras air masih naik.
“Sekolah tidak beroperasi berikutan cuti tahunan dan keadaan di lokasi terkawal,” katanya.