KAPIT: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi merakamkan rasa simpati yang mendalam terhadap semua penduduk di Rumah Dennis Langok Amang Ulu, di Jalan Selirik Kapit yang terkesan teruk akibat dilanda banjir pagi ini.
Beliau telah dimaklumkan, kawasan rumah panjang ini mula dinaiki air seawal 6.00 pagi tadi dan telah menenggelamkan hampir kesemua kenderaan yang diparkir di kawasan rumah panjang ini.
“Saya dimaklumkan bahawa beberapa rumah panjang di kawasan ini juga telah terjejas akibat hujan lebat yang berterusan, menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan mengancam keselamatan penduduk,” katanya menerusi kenyataan medianya, sebentar tadi.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit memberitahu, rumah panjang tersebut baru sahaja beliau lawati pada September tahun ini bagi meninjau perkembangan Rumah Dennis yang telah dinaiktaraf selepas menerima peruntukan sebanyak RM1.3 juta yang diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu.
“Lebih memilukan, satu kejadian tragis turut dilaporkan di mana seorang mangsa ditemui meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta akibat banjir yang melanda di kawasan itu.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa Bangau ak Amping, 75 tahun, yang merupakan pesara paderi sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya yang berniaga di hadapan SK Methodist, Kapit,” katanya.
Beliau turut difahamkan, semasa kejadian, air telah melepasi jalanraya akibat dari hujan yang turun sejak malam tadi dan arus kuat telah menyebabkan kereta bersama mangsa dihanyutkan ke dalam parit berdekatan.
“Mangsa telah berjaya di keluarkan sekitar jam 7.40 pagi tadi dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang telah hadir ke tempat kejadian.
“Saya amat bersedih dan bersimpati dan berdoa agar keluarga mangsa diberi kekuatan berhadapan dengan dugaan ini,” kata beliau.
Nanta juga telah mengarahkan pasukan Pejabat Parlimen Kapit di kawasan untuk melihat keperluan penduduk terjejas dan menyalurkan bantuan segera yang diperlukan.
“Pihak berkuasa tempatan bersama pasukan penyelamat juga sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu penduduk yang terjejas, termasuk usaha-usaha menyelamatkan mereka yang terperangkap dan memastikan keselamatan mangsa.
“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, saya menyeru kepada semua penduduk di Kapit untuk sentiasa berhati-hati dan mengikuti arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama,” kata beliau lagi.
Oleh Akun Giman