SERIAN: Sebanyak 148 jalan raya di seluruh negeri ini terkesan akibat banjir besar yang melanda dalam minggu ini, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 75 jalan raya mengalami hakisan, tiga kawasan mengalami kerosakan pembentung serta empat kerosakan di Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) termasuk yang berlaku di Ranchan di sini.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata pihaknya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk terus memantau keadaan jalan raya dan bertindak pantas untuk membaik pulih jalan-jalan yang telah terputus demi keselamatan pengguna.
”Kita memuji tindakan pantas JKR Sarawak yang berjaya memulihkan Jalan Temalat di Sibu dalam tempoh enam jam sahaja, sekali gus membolehkan laluan tersebut digunakan semula terutamanya untuk membantu menyalurkan bekalan keperluan ke kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa musim banjir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah dan PPS Dewan Masyarakat Serian di sini, hari ini.
Uggah berkata JKR disarankan untuk terus sentiasa bersiap siaga dalam memantau keadaan jalan raya di negeri ini terutamanya yang berisiko tinggi terjejas ekoran fenomena banjir kilat pada masa ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut menyarankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk sentiasa memantau keadaan masyarakat yang terjejas ekoran jalan perhubungan telah terputus.
”Ada kawasan yang tidak terkena banjir namun, jalan raya ke sana telah terputus. Apabila jalan terputus, maka mereka tidak dapat keluar untuk membeli bekalan makanan.
”Justeru, kita telah mengarahkan anggota dari Pejabat Residen dan juga JKM untuk memastikan mereka juga mendapat bekalan makanan bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bilangan isi rumah yang dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Serian meningkat kepada 64 keluarga dengan jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 218 orang.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Bukit Semuja John Ilus dan ketua jabatan kerajaan yang berkaitan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA