
DHAKA: Kerajaan Bangladesh hari ini sekali lagi menaikkan harga pengguna bagi oktana, petrol dan minyak tanah, menjadikannya kenaikan kedua dalam tempoh kira-kira enam minggu, lapor Xinhua.
Semua bahan api kecuali diesel dinaikkan sebanyak lima taka setiap satu, menurut Bahagian Sumber Tenaga dan Mineral negara itu yang mengeluarkan notis penetapan kadar baharu pada Ahad, berkuat kuasa Isnin.
Mengikut kadar baharu itu, harga oktana kini ditetapkan pada 145 taka (AS$1.17) seliter, petrol 140 taka (AS$1.13), dan minyak tanah 135 taka (AS$1.09), manakala diesel kekal tidak berubah pada 115 taka (AS$0.93).
Bahagian itu berkata harga disemak semula selaras dengan turun naik pasaran minyak bahan api global.
Oktana merujuk kepada tahap kualiti petrol berdasarkan keupayaannya mencegah pembakaran bahan api pramatang dalam enjin.
Bahan api beroktana tinggi terbakar lebih lancar ketika enjin beroperasi pada tekanan tinggi, manakala bahan api beroktana rendah lebih cenderung menyebabkan pembakaran pramatang dalam enjin berprestasi tinggi. – Bernama