KABONG: Keadaan ban yang pecah berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Sessang sehingga menyebabkan kawasan perkuburan itu ditenggelami air ketika air pasang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir yang turun padang meninjau sendiri lokasi berkenaan hari ini.
Chee Kadir berkata, lawatan itu diadakan bagi melihat dengan lebih dekat tahap kerosakan yang berlaku selain mendapatkan gambaran sebenar mengenai kesan yang dihadapi oleh penduduk setempat.
Menurut beliau, kejadian ban pecah tersebut telah mengakibatkan kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sessang dinaiki air setiap kali berlaku air pasang, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat terhadap keselamatan dan pemeliharaan kawasan berkenaan.
Katanya, keadaan itu memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan masalah menjadi lebih serius serta memastikan kawasan tanah perkuburan tidak terus terdedah kepada risiko banjir pada masa hadapan.

Beliau berkata, kehadiran pihak Jabatan Pengairan dan Saliran amat penting bagi membolehkan penilaian teknikal dilakukan terhadap keadaan ban yang rosak serta mengenal pasti kaedah penyelesaian paling sesuai untuk dilaksanakan.
Jelasnya, lawatan itu juga bertujuan mendapatkan input dan pandangan daripada pihak teknikal berhubung langkah-langkah intervensi yang perlu diambil bagi membaiki ban yang pecah serta menghalang kemasukan air ke kawasan tanah perkuburan ketika air pasang.
Chee Kadir turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk amat penting dalam memastikan setiap isu yang melibatkan keselamatan serta kepentingan awam dapat ditangani secara berkesan.
Beliau berharap segala hasil perbincangan dan penilaian yang dibuat menerusi lawatan tersebut dapat mempercepatkan pelaksanaan tindakan pembaikan demi melindungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sessang daripada terus terjejas.
“Semoga hasil lawatan dan kerjasama semua pihak akan membolehkan tindakan intervensi yang sewajarnya dilaksanakan dengan segera demi menyelesaikan masalah ini serta melindungi kawasan tanah perkuburan daripada risiko banjir pada masa hadapan,” katanya.
Turut menyertai lawatan tersebut, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran, Penghulu Kamaluddin Rambli, Ketua Kaum Abdollah Salim, Borhan Hashim serta beberapa wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Oleh Adi Safarman




