
PETRA JAYA: Bakat serta potensi wanita perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh pembangunan negeri, terutamanya menerusi pengisian jawatan kepimpinan dan penglibatan aktif dalam sektor strategik.
Pengerusi Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Tan Sri Dato’ Zarinah Anwar berkata, usaha memperkasa wanita melalui pembangunan kapasiti dan peningkatan kemahiran adalah elemen utama bagi memastikan penyertaan yang lebih seimbang antara lelaki dan wanita di semua peringkat organisasi, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
“Matlamat utama adalah untuk memperkukuh kompetensi wanita serta membantu mereka memahami cabaran yang dihadapi dalam mendaki tangga kerjaya.
“Kita mahu membuka lebih banyak peluang untuk wanita mengisi jawatan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Tambah beliau, statistik menunjukkan bahawa lebih 60 peratus graduan universiti di Malaysia terdiri daripada wanita, namun pengisian jawatan tertinggi dan kepimpinan masih lagi didominasi oleh lelaki.
“Keadaan ini menuntut perhatian serius bagi memastikan bakat dan kepakaran wanita tidak disia-siakan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa adalah amat penting bagi semua organisasi, termasuk kerajaan negeri, untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat yang dimiliki sama ada lelaki mahupun wanita demi mencapai keputusan terbaik bagi organisasi serta pembangunan negeri.
Ketika ditanya mengenai respons Premier Sarawak, Tan Sri Zarinah menyatakan bahawa Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif pembangunan kapasiti wanita, yang disifatkan selari dengan visi kerajaan negeri dalam memperkasa sumber manusia sebagai pemacu utama kemajuan negeri.
Jelasnya lagi, Datuk Patinggi Abang Johari amat menitikberatkan pembangunan sumber manusia dan melihat kerjasama bersama Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) sebagai satu platform penting untuk memperkukuh kapasiti dan kompetensi tenaga kerja di Sarawak.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE Joseph Lim Jit Sek dan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Kepimpinan Wanita Asia Profesor Dr Sushila Khrisnaswamy-Chang. – UKAS