KUCHING: Pemenang terbaik bagi Peraduan Reka Poster filem seram, ‘Sumpahan Jerunei’ bakal dipamerkan karyanya di festival filem antarabangsa.
Penerbit filem merangkap Pengarah Eksekutif Produksi Seni 2020 Datuk Nancy Foo dan Datin Wendy Wong mendedahkan perkara itu kepada pelajar grafik dan multimedia di Swinburne University of Technology kampus Sarawak di sini, hari ini.
Nancy berkata, filem yang bakal ditayangkan itu secara tidak langsung mampu menyokong pelancongan tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi pembikinan filem yang lainnya dan memelihara warisan peninggalan.
“Kami mempunyai lima objektif bagi tujuan ini iaitu untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan, mendidik penonton tentang Malaysia yang kaya dengan sejarah, warisan, tradisi dan mercu tanda,” katanya selepas mengadakan sesi perkongsian bersama pelajar Swinburne sebentar tadi.
Jelas Nancie lagi, melalui peraduan itu, beliau mahu bakat Malaysia dapat diketengahkan yang mana tidak pernah dilakukan sebelum ini oleh pelajar dari Insitusi Pengajian Tinggi tempatan dari Sarawak mahupun Semenanjung.
Sementara itu, bagi penyertaan yang tidak memenangi hadiah utama, karya mereka akan digunakan di dalam cuitan filem itu sebagai motivasi.
Jelasnya, lima poster berkualiti yang terpilih pula akan digunakan untuk cuitan filem bagi dalam dan luar negeri, tambahnya.
Pemenang tempat pertama akan memenangi RM1,000 dan telefon Realme 3 Pro, manakala tempat kedua memenangi RM500, tempat ketiga RM400, tempat keempat RM300 dan tempat kelima RM200.
Sehubungan dengan itu, pihaknya bahawa menerusi perkongsian itu para pelajar mengetahui bahawa filem merupakan sebuah aset negara.
“Apabila orang menonton filem kita dan apabila mereka suka dengan pemandangan atau bahagian yang kita tonjolkan, barulah mereka akan rasa ingin datang ke negara kita, jadi begitulah cara kita mempromosikan Malaysia sebagai destinasi menarik melalui filem,” katanya.
Enam institusi pendidikan di Sarawak menyertai peraduan itu iaitu Swinburne, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Segi Sarawak, Sekolah Seni Kuching, Kolej Cosmopoint, dan Institut Teknologi Kreatif Limkokwing.
Tempoh peraduan bermula dari 20 April hingga 20 Mei. Maklumat lanjut berkaitan peraduan akan disiarkan setiap hari di Instagram filem itu iaitu sumpahanjerunei atau https://www.instagram.com/sumpahanjerunei/.
Filem ‘Sumpahan Jerunei’ dibintangi oleh pelakon terkenal iaitu Bront Palarae, Uqasha Senrose, Daiyan Trisha, Amerul Affendi, Tony Eusoff dan ramai lagi.
Filem seram itu turut diilhamkan daripada sejarah dan budaya masyarakat Melanau di Sarawak, termasuk upacara pengebumian purba dan penggunaan ‘jerunei’.
Filem arahan Jason Chong tersebut bakal berada di pawagam menjelang penghujung Julai tahun ini.
Turut hadir, Ketua Profima Negeri Sarawak Ali Mohamad.
Oleh NICKELYSON LAKUN