Suruhanjaya Tinggi India beri amaran penyalahgunaan pengecualian visa untuk bekerja

Facebook
WhatsApp
AMARAN... Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur mengingatkan warganya supaya tidak menyalahgunakan kemudahan pengecualian visa 30 hari untuk mencari pekerjaan di Malaysia susulan peningkatan kes penipuan tawaran kerja palsu oleh ejen tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur mengingatkan warganya supaya tidak menyalahgunakan kemudahan pengecualian visa selama 30 hari di Malaysia untuk mencari pekerjaan, susulan peningkatan ketara ketibaan individu yang diperdaya ejen tidak bertanggungjawab dengan tawaran kerja palsu.

Dalam nasihat yang dimuat naik menerusi akaun rasmi X, suruhanjaya tinggi itu berkata kemudahan pengecualian visa berkenaan membolehkan pemegang pasport India berada di Malaysia sehingga 30 hari bagi tujuan pelancongan dan lawatan sosial sahaja.

Menurutnya, penggunaan kemudahan itu untuk mencari pekerjaan merupakan pelanggaran jelas terhadap peraturan imigresen.

“Terdapat peningkatan ketara warga India yang tiba di Malaysia menggunakan kemudahan pengecualian visa 30 hari untuk mencari pekerjaan.

“Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur mengingatkan warga India yang datang ke Malaysia menggunakan visa pelancong supaya tidak bekerja. 

“Ramai warga India diperdaya ejen tidak bertanggungjawab dengan janji pekerjaan palsu sehingga menyebabkan mereka tinggal melebihi tempoh dibenarkan, berada dalam status tidak sah, dieksploitasi, ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya tinggi itu menegaskan bahawa warga India tidak seharusnya datang ke Malaysia untuk bekerja tanpa permit kerja yang sah atau Visa Dengan Rujukan (VDR).

“Pelancong sebenar perlu membawa dokumen yang sah dan boleh disahkan, termasuk tiket pulang yang telah disahkan, tempahan hotel, bukti penghantaran Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) secara dalam talian tiga hari sebelum tarikh ketibaan serta pasport yang mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan, bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan imigresen ketika tiba di Malaysia,” menurut kenyataan itu.- Bernama