SIBU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berharap lebih banyak dana diperuntukkan kepada kementeriannya dalam bajet 2023.
Menurutnya, kementerian memerlukan peruntukan lebih besar terutama dalam usaha mewujudkan lebih banyak inisiatif seperti menubuhkan jabatan untuk kanak-kanak.
“Kami memerlukan lebih banyak dana untuk memperkasakan mereka yang bekerja di bawah kementerian, kerana kami mahu menambah lebih banyak sumber manusia.
“Ini akan membolehkan kami beroperasi dengan lebih cekap di jabatan itu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Keusahawanan Wanita Bangkit@ KPWKM di Dewan Lakis, Masjid An-Nur, petang tadi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Feb, akan memenuhi keperluan setiap golongan rakyat dan kumpulan masyarakat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kandungan Bajet 2023 masih diperhalusi, namun kerajaan di bawah pentadbirannya tidak akan meminggirkan mana-mana pihak.
Beliau juga sebelum ini melaporkan sebagai berkata Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula tidak akan terikat dengan apa yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu.
Bagaimanapun, cadangan yang dibuat dalam belanjawan sebelum ini akan tetap diambil kira dalam angka Bajet 2023 yang baharu.
Oleh AKUN GIMAN