BEKENU : Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu Rosey Yunus mengumumkan projek baik pulih Jalan Rumah Rajit Ambas sejumlah RM100 ribu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini semalam.
Rosey yang juga memegang portfolio Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak berkata, projek itu sudah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri dan berharap dapat dilaksanakan dengan cepat mungkin.
Justeru beliau meminta penduduk rumah panjang terbabit memberi kerjasama kepada pihak JKR dan melakukan pemantauan bersama supaya kerja projek tersebut dapat dijalankan dengan lancar.
“Projek ini merupakan satu usaha kerajaan yang komited dalam membawa pembangunan terhadap penduduk di kawasan luar bandar,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak menggunakan dana sendiri untuk banyak projek, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan untuk menaik taraf kehidupan rakyat negeri ini.
Sarawak yang diterajui oleh Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg telah melakukan yang terbaik terhadap pelbagai projek di negeri ini dan masih banyak lagi permohonan rakyat untuk dipenuhi.
“Di kementerian saya iaitu bahagian wanita, keluarga dan pembangunan kanak-kanak juga banyak bantuan boleh dipohon oleh setiap lapisan masyarakat.
“Misalnya, bantuan untuk bayi baru lahir, ibu bersalin, warga emas, pendidikan dan sebagainya,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Rosey Yunus turut menyampaikan sumbangan kewangan segera sejumlah RM3,000 kepada JKKK Rh Rajit dan RM3,000 untuk Biro Wanita Rh Rajit.
Seramai 13 warga emas turut menerima bantuan keperluan harian yang disumbangkan oleh Skuad Kasih Sayang Bekenu dan sejumlah 63 ketua pintu juga menerima saguhati berupa keperluan harian daripada Rosey Yunus.
Oleh Adum Liu