ITALI melonjak ke puncak kumpulan Liga Negara UEFA setelah menang 1-0 ke atas Belanda yang sedikit terjejas oleh berita bintang yang sedang meningkat naik, Nicolo Zaniolo mungkin mengalami kecederaan lutut yang serius.
Tandukan kencang Nicolo Barella dalam masa kecederaan separuh masa pertama sudah cukup untuk pasukan Roberto Mancini membawa balik tiga mata dari Amsterdam dan tempat teratas dalam Kumpulan 1, Liga A.
‘Azzurri’ kini berada satu mata di depan Belanda, yang bermain di bawah jurulatih sementara Dwight Lodeweges setelah pembelotan Ronald Koeman ke Barcelona, dan Poland di tempat ketiga setelah kemenangan 2-1 ke atas Bosnia dan Herzegovina.
“Saya gembira kerana mental, persembahan, pemain beraksi dengan cemerlang,” kata Mancini kepada penyiar Itali, Rai.
Mancini membuat tujuh perubahan daripada pasukan yang seri 1-1 dengan Bosnia pada Sabtu lalu, mengakhiri kemenangan berturut-turut 11 perlawanan, dan pasukannya mendominasi di Johan Cruijff Arena.
“Anda tidak memenangi 11 pertandingan berturut-turut jika anda tidak memiliki mental yang baik. Pasukan yang kami kalahkan dalam kelayakan Euro 2020 tidak sebagus Belanda atau Jerman, tetapi memenangi permainan masih sukar,” tambah bekas jurulatih Inter Milan dan Manchester City itu.
Segala- galanya berubah menjadi lebih buruk bagi Itali apabila Nicolo Zaniolo terhincut-hincut meninggalkan padang dalam separuh pertama kerana masalah lutut, kebimbangan bagi pemain berusia 21 tahun itu yang hanya kembali daripada kecederaan lutut kiri yang serius pada musim panas.
Selepas perlawanan itu, ketua doktor Itali, Andrea Ferretti mengesahkan bahawa ia adalah ‘signifikan’, sambil menambah bahawa “dia bimbang, seperti kita juga.”
Namun dalam sidang media selepas perlawanan, Mancini berkata pemain tengah Zaniolo lebih tenang” kerana dia tidak mengalami kesakitan yang serius.
Kemudian pada malam Selasa, Roma berkata Zaniolo mengalami ‘trauma’ di lutut kirinya sambil menambah bahawa dia akan menjalani ujian untuk menilai tahap kecederaan sepenuhnya ketika dia kembali ke ibu negara Itali hari ini. – AFP