ISTANBUL: Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev hari ini menandatangani dekri bagi penganjuran edisi sulung Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) FIFA dan Festival FIFA pada 2026, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita Azertac.
Menurut dekri itu, jawatankuasa penganjur yang ditubuhkan pada 15 Disember 2025 bagi Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) FIFA 2027 akan menyelaras persiapan dan langkah yang diperlukan untuk memastikan kejayaan penganjuran kejohanan berkenaan.
Kabinet Azerbaijan turut diarahkan menyelesaikan semua urusan operasi susulan pelaksanaan dekri presiden itu.
Biro Majlis FIFA pada 25 Jun menetapkan edisi sulung Piala Dunia B-15 FIFA dan Festival FIFA berlangsung di Azerbaijan dari 22 hingga 31 Oktober.
Acara julung kali dalam sejarah bola sepak antarabangsa itu dijangka mengukuhkan kedudukan Azerbaijan dalam arena sukan dunia, mempromosikan bola sepak di seluruh negara serta meningkatkan keupayaan negara itu menganjurkan acara sukan antarabangsa berskala besar. – Bernama




