
MUKAH: Seramai 30 peserta menyertai Bengkel Kreatif 3D Pen anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak sempena Pesta Kaul Mukah 2026, dalam usaha memperkenalkan teknologi kreatif digital kepada komuniti setempat.
AZAM menerusi siaran medianya memberitahu, program separuh hari anjuran dengan kerjasama Persatuan Melanau Mukah melibatkan peserta terdiri daripada pelajar seawal usia tujuh tahun hingga belia berusia 35 tahun, mencerminkan pendekatan inklusif dalam memperluas akses kepada pembelajaran teknologi dalam kalangan masyarakat.
Bengkel tersebut memberi pendedahan kepada peserta terhadap penggunaan pen 3D, iaitu teknologi yang membolehkan idea diterjemahkan kepada hasil ciptaan tiga dimensi secara langsung dan interaktif.
Selain mempelajari asas reka bentuk kreatif, peserta turut didedahkan kepada kemahiran berfikir secara inovatif, menyelesaikan masalah serta meningkatkan keyakinan dalam penggunaan teknologi baharu.
Menariknya, hasil ciptaan peserta diinspirasikan daripada elemen tempatan dan pembangunan Mukah, termasuk rekaan berasaskan identiti budaya, persekitaran serta aspirasi Mukah sebagai bandar pintar dan hab ekonomi digital.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telian merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaul 2026, Royston Valentine.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, pendekatan berasaskan teknologi seperti ini penting bagi memastikan komuniti, khususnya belia, tidak ketinggalan dalam arus perkembangan digital.
“Program seperti ini bukan sahaja memperkenalkan teknologi, tetapi membuka ruang kepada belia untuk berfikir secara kreatif, membina keyakinan dan melihat potensi diri mereka dalam landskap masa hadapan yang semakin berteraskan digital,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Hubungan Belia AZAM Sarawak, Mohd Hassnal Hakim Junaidi berkata, pendekatan berasaskan pengalaman secara langsung merupakan antara kaedah paling berkesan dalam menyampaikan mesej pembangunan kepada komuniti.
“Di AZAM, komunikasi bukan sekadar penyampaian maklumat, tetapi bagaimana sesuatu pengalaman itu mampu membentuk pemikiran dan membuka peluang. Bengkel ini membuktikan bahawa teknologi boleh dijadikan medium untuk menggerakkan potensi belia secara lebih praktikal dan bermakna,” katanya.
Penganjuran bengkel ini turut menggabungkan elemen warisan budaya dengan pendekatan teknologi moden, selari dengan usaha memastikan pembangunan komuniti kekal relevan dalam arus digital masa kini.
Inisiatif ini sekali gus memperkukuh peranan AZAM Sarawak dalam membina ekosistem komunikasi yang dinamik, dengan memanfaatkan teknologi sebagai medium untuk mencetus inspirasi, membentuk keyakinan dan membuka peluang kepada generasi muda dalam landskap digital yang semakin kompetitif.
Oleh Akun Giman